Apa itu kasta?
Bahasa mudahnya, pengkelasan manusia. Ada yang kaya, kasta tinggi. Tak kaya pun kalau berdarah bangsawan, tetap berada di kasta tinggi.
Mana yang tak bernasib baik, lahir dalam keluarga yang miskin atau berketurunan hamba, tergolong dalam kasta rendah.
Ada dengan bahasa yang lebih mudah, pengkelasan yang berlaku di Malaysia, B40, M40 dan T20. Eh silap, patut boleh tambah lagi pengkelasan kepada Border M40 and T20 and T05 (level-level kayangan gituuu). hahaha
Saya berasal daripada keluarga yang susah, B40.
Kemudian, Alhamdulillah. Dengan izin Allah, bantu saya belajar dengan baik dan suka belajar, saya dapat sambung belajar hingga ke tahap Ph.D. dan dapat jadi seorang pensyarah. Jadi pensyarah ni tak adalah kaya sangat pun. Tapi, okaylah. Boleh ubah kehidupan daripada B40, ke M40 dan ke border M40-T20. hehehe. Dengan komitment yang ada, saya tak berani nak kata saya dah masuk level T20, walaupun dari segi gaji dan tempat tinggal, saya dah termasuk dalam kategori T20.
Tapi, tujuan saya tulis post ni bukan nak cerita kasta yang berkaitan dengan gaji dan pendapatan. Tetapi, saya nak cerita tentang kasta dalam dunia pendidikan. Jurang yang terbentuk antara pelajar-pelajar yang pandai dengan pelajar-pelajar yang tidak pandai atau dengan bahasa kasarnya, orang sebut sebagai "lembab" dan "bodoh", akhirnya boleh mewujudkan kasta dalam pendidikan. Perkara begini dah lama ada. Cuma sejak kebelakangan ini, jurang makin luas dan ketara. Maka kasta dalam pendidikan makin dirasai.
Saya selalu kata kepada anak saya. "Tak ada manusia yang bodoh, yang ada cuma manusia yang malas. Allah tu Maha Kuasa. Kalau nak, sure dapat."
Itu kata-kata saya yang saya selalu cakap kepada anak saya dalam pelbagai nada. Ada dalam nada nak bagi motivasi. Ada dalam nada nak memujuk. Ada dalam nada marah dan tegas. Mengikut kepada tingkah laku anak ketika itu dan mood saya juga.
Namun, mungkin Allah nak tegur saya.
Ya betul. Tiada manusia yang bodoh. Dan kalau nak, minta daripada Allah, maka Allah pasti akan bagi.
Betul sangat.
Tapi.... persoalan sekarang. Ada lagi segolongan manusia yang buat jika mahu. Dan ada juga segolongan manusia yang mahukan kehidupan tenang-tenang sahaja kecuali kepada perkara yang mereka betul-betul mahukan, mereka akan cuba dapatkan jika mereka tahu cara mendapatkannya bagaimana.
Haaa... eh.. bukan sama ker dengan kategori manusia pandai dna tak pandai ni?
Well.. tak sama.
Sangat tak sama.
Mereka yang sejenis sangat "memilih" adalah orang yang sangat degil. Usahalah bagaimana cara sekali pun, kalau mereka tak nak, mereka akan duduk kaku membisu. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Tapi, kalau mereka nak, mereka akan buat sehabis baik.
Dan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia mula melancarkan pelan pendidikan di mana anak-anak berusia 6 tahun dah boleh masuk tingkatan 1, maka akan wujud 4 golongan manusia.
1. Yang betul-betul anaknya pandai dan emak ayah dan anak tu mahukan peluang tersebut.
2. Yang pandai tapi, hanya ibu bapa yang mahu, anak tu tak mahu peluang tersebut.
3. Yang anaknya tak pandai, tetapi emak ayah sangat mahukan anak tu dapat peluang tersebut dan anak pun mahukannya
4. Yang anaknya tak pandai, dan emak ayah termasuklah anak tu langsung tak peduli.
Maka, 4 golongan manusia ni, akan mewujudkan 4 kasta dalam pendidikan.
Dan ia akan bermula seawal umur 6 tahun.
Saya tak pasti adakah hal ini akan mendatangkan faedah suatu hari nanti. Tapi, buat masa sekarang ini, ia agak menggerunkan.
Untuk orang yang memang berada dalam bidang pendidikan, sudah pasti saya bukan dalam golongan ke-4. Sudah pasti saya mahu berada dalam golongan pertama (1). Tapi, saya risau jika anak saya berada dalam golongan ke-2 dan ke-3. Dan ini merupakan satu cabaran yang agak merisaukan. Kerana apa? Kerana saya tidak pernah dipaksa dan disuruh untuk suka belajar oleh kedua emak dan ayah saya. Dan saya masih rasa kurang selesa dan tak pandai untuk lakukan perkara yang sama kepada anak-anak saya.
Dan sebahagian daripada diri saya merasakan, menjadi pandai dan berjaya dalam peperiksaan bukanlah satu-satunya cara untuk berjaya dalam hidup. Dan kejayaan dalam hidup itu juga sangat pelbagai.
Kalau saya, kebahagiaan saya, salah satunya semestinya ilmu pengetahuan dan kemampuan untuk belajar banyak perkara. Tetapi, untuk saya tekankan hal yang sama kepada anak-anak saya bukanlah satu perkara yang mudah berbanding nak buat kepada para pelajar saya di universiti. Mungkin kerana anak sendiri, emosi itu lebih mendalam. hahahaha
Sudah pasti, saya taknak anak saya berada dalam suasana kasta pendidikan ini sejak dari awal persekolahan lagi. Sangat merisaukan saya. Kalau dah masuk sekolah menengah, saya masih boleh terima. Tetapi, kalau sedari darjah 1, perkara ini sudah wujud, saya risau. Risau kenapa? Saya tak pasti. Mungkin kerana saya tak nak saya akan begitu berharap dan memberikan tekanan kepada anak saya. Tapi, saya risau jika tidak berbuat sesuatu, saya akan menyesal di kemudian hari.
Well, emak sejenis overthinking.
Mungkin, orang akan tanya, what if anak saya nanti (Aurora yang akan terkesan dengan pelan ni) mampu untuk naik Darjah 1 ketika berusia 6 tahun? Adakah saya akan gembira dan bersetuju dengan pelan ini?
Saya rasa, saya tetap tidak bersetuju.
Saya lebih suka dengan pelan dan program Permata Pintar yang ada di UKM dan USIM. Kalau anak saya betul-betul pandai, saya akan pandukan anak saya ke arah Program Permata Pintar yang ada. Ketika itu pun, anak dah berusia 13 tahun. Umur yang saya rasa cukup matang untuk berada dalam pengkelasan pendidikan.
Ketika ini, saya rasa tiada pun ibu bapa yang mengadu anaknya dah cukup hebat. Kenapa kena tunggu umur 7 tahun baru boleh masuk sekolah rendah?
Yang saya banyak baca adalah ibu bapa mahu UPSR dikembalikan. Saya juga mahukan perkara yang sama.
Tapi, akhirnya.....
Yang ibu bapa dapat tak sama dengan apa yang dimahukan. Itu yang buat saya kecewa.
Setakat ini, inilah salah satu luahan saya dan perkara yang bermain di fikiran saya tentang pelan Kementerian Pendidikan Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini.
Untuk ujian nasional di Tahun 4 sekolah rendah pun, saya kurang bersetuju. Bukan kerana saya tak nampak kelebihan ujian tersebut.
Saya faham dan baguslah jika kerajaan mahu wujudkan intervensi untuk pelajar-pelajar yang gagal dalam ujian tersebut. Namun, persoalan utama yang bermain di fikiran saya, bagaimanakah nak mengukur samada intervensi ini berjaya atau tidak?
Bukankah, masih perlukan satu ujian nasional sebelum anak-anak ini melangkah ke sekolah menengah juga?
Jika UASA, PBD dan ujian Psikometrik sudah mencukupi, kenapa ujian-ujian sebegini tidak digunakan untuk menilai anak-anak ini ketika mereka di Tahun 4. Mungkin pihak sekolah boleh buat analisis yang lebih komprehensif terhadap pencapaian UASA, PBD dan ujian Psikometrik sejak dari Tahun 1 hinggalah Tahun 4.
Saya tidak mahu, apa yang diwujudkan lebih bersifat mahukan satu legasi, berbanding menyelesaikan masalah sebenar dengan meletakkan usaha dan resources yang ada pada solusi yang sepatutnya.
Dan saya bukanlah orang yang sewenang-wenangnya nak membantah segala usaha kerajaan dan pemimpin yang ada. Saya juga faham sekiranya usaha-usaha yang ada ini boleh berubah-ubah mengikut masa dan sesiapa yang memerintah.
Tapi, saya bukan sahaja seorang pendidik. Saya juga seorang ibu yang mana anak saya terkesan dengan semua pelan kerajaan ini. Saya sendiri pun akan terkesan untuk memastikan anak saya benar-benar sudah bersedia. Dan untuk memastikan inilah jalan dan suasana yang terbaik untuk perkembangan dan pembelajaran anak-anak saya.
Orang boleh kata. Kalau tak suka, ikut cara sendiri. Buat homeschooling. Ajar sendiri. Suruh anak amik IGCSE.
Ya betul. Mungkin itulah pilihan lain yang saya ada.
Tapi, biarlah itu menjadi pilihan yang terakhir sekiranya kedaan masih tidak memuaskan dan saya gagal untuk terima dengan baik perubahan yang ada setelah saya cuba sedaya upaya.
Di saat ini, fikiran saya masih berfokus kepada pendidikan anak-anak saya. Dan bila saya dah buat keputusan, hal pendidikan anak-anak ini adalah keutamaan saya sekarang ni, maka saya perlu hadap semua ni. InsyaAllah, apa pun yang berlaku, saya kena terima, tiada orang yang akan lebih bersedih hati sekiranya anak saya berada dalam masalah dan kerugian di kemudian hari, kecuali saya sendiri dan ayah mereka.
Jadi, apa pun yang terjadi, saya dan suami saya yang lebih bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak kami boleh belajar dengan baik. Nak mengharapkan kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama bukanlah sesuatu yang baik untuk mental health kami. Cikgu-cikgu di sekolah pun mungkin terbeban dengan begitu banyak perubahan yang berlaku. Pelajar yang mereka perlu jaga di sekolah pula ramai. Mereka pun ada anak-anak sendiri untuk dijaga dan diberikan perhatian juga.
Inilah cara saya berdamai dengan situasi.
Akhirnya, anak-anak saya, tanggungjawab saya dan ayah mereka.



